Dua beradik dipercayai pengedar dadah sementara sepupu didapati positif
dadah (ujian air kencing) selain dua pokok ketum dijumpai ditanam di
belakang rumah mereka ketika serbuan di Felda Lepar Hilir.
KUANTAN - Seorang ibu berusia 36 tahun dan anak perempuannya 17 tahun
antara yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pahang dalam
Operasi Perangi Dadah Habis-Habisan di sekitar Kuantan, pagi tadi.
Turut ditahan, seorang bapa berusia 59 tahun dan anak lelakinya selain
dua pasang adik beradik (berlainan keluarga) serta sepasang suami isteri
berusia 29 dan 22 tahun yang dipercayai penagih dadah.
Dalam serbuan di Felda Lepar Hilir, tangkapan dibuat ke atas dua
beradik berusia 30an dipercayai pengedar dadah dan merampas beberapa
paket dadah dianggarkan seberat 100 gram serta wang tunai RM8,500.
Salah sebuah rumah yang diserbu di tanah rancangan itu juga didapati
dilengkapi kamera litar tertutup di luar bahagian depan rumah dengan
skrin pemantau diletakkan di dalam bilik tidur bagi mengesan kehadiran
pihak berkuasa.
Pada masa sama, serbuan dilakukan serentak di kawasan lain di Jaya Gading, Tanjung Lumpur, Beserah, Bukit Goh dan Tanah Putih.
Operasi bermula dari jam 12 tengah malam dengan kekuatan 70 anggota
berjaya menahan 89 penagih dan pengedar itu berakhir pada jam 6 pagi.
Pengarah AADK Pahang, Abdul Ghani Abdul Rahman yang turut serta dalam
operasi berkenaan berkata, kesemua mereka berusia antara 17 hingga 59
tahun dan ditahan ketika serbuan dilakukan di rumah masing-masing.
Menurutnya, tangkapan ke atas dua beradik dipercayai pengedar dadah itu
pula membawa kepada penemuan dua pokok ketum yang ditanam di belakang
rumah mereka.
"Ops Cegah merupakan operasi yang dijalankan dua bulan sekali manakala
Ops Bersepadu bersama agensi lain dilaksanakan sebulan sekali.
"Kami memandang serius dalam usaha mencegah dan memerangi habis-habisan
penyalahgunaan dadah memandangkan terdapat kes berulang dan penagih
baru.
"Segelintir ibu bapa memberi kerjasama baik ketika serbuan dilakukan
namun ada pula yang cuba melindungi anak mereka daripada ditahan,"
katanya.
Kesemua mereka dibawa ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di
Indera Mahkota bagi menjalani saringan ujian air kencing sebelum
didakwa.
Sumber : Sinar Harian 16 Ogos 2016
Hidup ini terlalu indah untuk disiakan
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.
No comments:
Post a Comment